Wednesday, March 24, 2010

Sejenak Bersama Pengurus Pasukan Dodgeball KRT Kampung Pangkal Chuit

Sukan dodgeball adalah sejenis sukan yang baru diperkenalkan di negeri Kelantan malahan ianya adalah sejenis sukan yang baru mahu mencari tempat dan nama di Malaysia. Walaupun ianya telah lama dimainkan di peringkat antarabangsa, namun, langkah yang diambil untuk menceburi sukan ini oleh Kerajaan Malaysia diharapkan supaya mampu membina generasi yang sihat dan aktif.

Pasukan Dodgeball KRT Pangkal Chuit ini telah ditubuhkan lebih 3 bulan yang lalu dan ianya dibentuk oleh Pengerusi jawatankuasa KRT Pangkal Chuit itu sendiri iaitu Cikgu Wan Mohd Adnan b Wan Aziz. Tanggungjawab telah diberikan kepada seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Temangan yang mana merupakan salah seorang guru sukan di sekolah tersebut. Cikgu Che Wan Ahmad Zamri b Che Wan Mohamad adalah pengurus pasukan Dodgeball Pangkal Chuit merangkap ketua jurulatih pasukan.


Che Wan Ahmad Zamri telah membina kerjaya sebagai guru dan menjadi jurulatih sukan untuk hampir semua acara merangkap olahraga, sukan merentas desa, bola baling dan bola jaring. Hasil didikan dan tunjuk ajar beliau telah mencatatkan beberapa rekod terbaik untuk sekolah mahupun untuk profilnya sendiri apabila ada anak anak muridnya telah berjaya mewakili Negeri Kelantan untuk perlawanan peringkat kebangsaan.

Apabila mendapat tanggungjawab untuk menjadi jurulatih pada pasukan dodgeball ini, beliau mengambil masa beberapa hari belajar dan memahami cara permainan dan teknik dodgeball. Setelah itu, beliau terus mencari pemain pemain yang akan mewakili KRT pangkal chuit dan mengajar mereka. Melalui pengalaman beliau, ramai anak anak muda yang hadir untuk pemilihan pemain tetapi hanya orang yang mempunyai asas dan pengalaman dalam perlawanan bola baling telah dipilih.

Atas komitmen dan semangat juang yang tinggi, anak anak muda KRT Pangkal Chuit ini gigih berlatih dan hanya mengambil masa seminggu untuk memahami cara permainan dan teknik perlawanan dodgeball. Che Wan Ahmad Zamri selaku jurulatih pasukan berkata bahawa tidak sukar untuk melatih pemain pemain kerana mereka sudah mempunyai asas bola baling yang mana memerlukan kekuatan tangan dan balingan. Dalam sessi latihan, Che Wan Ahmad Zamri lebih mementingkan teknik permainan berbanding dengan kekuatan fizikal yang menjadi kemestian dalam permainan ini.

Hasil dari latihan hampir 4 kali seminggu, Che Wan Ahmad Zamri yakin bahawa anak didiknya telah mencapai tahap 80% bersedia untuk menghadapi perlawanan Kejohanan Dodgeball Zon Timur yang akan berlansung pada 22 April ini di negeri Terengganu Darul Iman. Sebagai insentif....setiap sessi latihan akan diberikan minuman ringan dan kuih muih sebagai memberi tenaga kepada para pemain. Ianya hasil wang sumbangan Che Wan Ahmad Zamri sendiri dan juga daripada Pengerusi KRT Kampung Pangkal Chuit, Cikgu Wan Mohd Adnan b Wan Aziz.

Sebagai harapan dari jurulatih, Che Wan Ahmad Zamri berharap agar pasukan dodgeball dan anak didiknya berjaya menjuarai perlawanan yang bakal dihadapi dan semoga semua wirawan dan wirawati kampung telah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Mofash

No comments:

Post a Comment