Thursday, April 1, 2010

Gotong royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Kawasan Rukun Tetangga kampung Pangkal Chuit

Apabila bercerita tentang tanah perkuburan, mesti ramai antara kita yang akan berasa sedikit seram dan takut. Orang orang tua sering menakutkan anak anak tentang adanya hantu yang menakutkan disekitar kawasan kubur, namun pada logiknya, kanak kanak dilarang untuk bermain dikawasan tanah perkuburan kerana ianya adalah kawasan yang dihormati dan jika boleh, kita tidak harus mengganggu kawasan penyemadian orang orang yang telah pergi.


Setelah agak lama kawasan tanah perkuburan kawasan rukun tetangga Kampung Pangkal Chuit ini tidak dibersihkan, rumput rumput telah naik meninggi, semak samun telah menutupi batu batu nesan dan akibat dari hujan melampau, tanah tanah telah bergerak dan menutupi sebilangan kubur yang mana boleh membuatkan keluarga keluarga keliru dan tercari cari kubur sanak saudara mereka.

Atas alasan itu, Ahli jawatan kuasa dan pengerusi Kawasan rukun tetangga kampung pangkal chuit telah bermesyuarat dan tarikh 2 April 2010 telah dipilih untuk mengadakan gotong royong bersama seluruh penduduk kampung membesihkan kawasan tanah perkuburan kampung kami.


Motor motor penduduk kampung yang memenuhi pintu masuk tanah perkuburan

Seawal jam 8.00 pagi, hampir 85 orang penduduk kampung x kira tua dan muda seawal umur 7 tahun datang ke kawasan tanah perkuburan mukim Jakar yang berada dalam Kawasan Rukun Tetangga Kampung Pangkal Chuit. Semuanya membawa alatan masing masing. Ada yang membawa cangkul, ada yang membawa parang, sabit, mesin rumput dan ada yang membawa kamera untuk mengambil gambar aktiviti...dan orang itu adalah saya sendiri.


Gotong royong dimulakan dengan menebas semak samun menggunakan parang dan sabit, dan bagi yang membawa mesin rumput, hampir satu kawasan tanah perkuburan ini dibahagi beberapa kawasan kepada beberapa orang yang memesin rumput. Lain lain orang membetulkan batu batu nesan yang telah senget, mengumpulkan daun daun kering dan rumput rumput yang telah dimesin untuk dibakar, dan ada yang membetulkan kubur kubur yang telah tenggelam atau rosak akibat hujan dan peralihan tanah.




Setelah hampir 2 jam kerja kerja pembersihan dijalankan, ahli jawatankuasa KRT kampung Pangkal Chuit datang membawa makanan dan minuman sebagai tanda terima kasih atas kerjasama yang dilakukan. Menu makanan adalah nasi berlauk dan juga meehoon goreng beserta air teh kosong sebagai minuman.



Acara gotong royong tamat pada jam 11 pagi dah setelah selesai, semuanya bersurai dan bersiap untuk menunaikan solat jumaat pula. Semoga usahasama antara penduduk kampung pangkal chuit ini akan berterusan bagi program program lain akan datang dan semoga kesejahteraan dan keharmonian kehidupan antara penduduk kampung akan terus dikecapi bersama.

Hingga lain waktu..

Mofash

No comments:

Post a Comment